26 September 2020 - 14:37
India Teruskan Pilihan Raya Negeri, Tak Hiraukan COVID-19

India mengumumkan pilihan raya negeri di Bihar, yang akan membabitkan jutaan pengundi di negeri berpenduduk padat itu meskipun 86,052 jangkitan baharu harian COVID-19 dilaporkan semalam.

Agensi Berita Ahlul Bait - ABNA - India mengumumkan pilihan raya negeri di Bihar, yang akan membabitkan jutaan pengundi di negeri berpenduduk padat itu meskipun 86,052 jangkitan baharu harian COVID-19 dilaporkan semalam.

Pilihan raya di negeri yang mempunyai 125 juta penduduk itu akan diadakan penghujung Oktober ini.

Ketua Pesuruhjaya Pilihan Raya (CEC), Sunil Arora, berkata pengundian akan diadakan selama tiga hari iaitu pada 28 Oktober, 3 November dan 7 November manakala pengiraan undi ialah pada 10 November.

"Pesakit COVID-19 yang dikuarantin juga akan dibenarkan mengundi tetapi dihadkan pada beberapa jam terakhir sebelum pusat pengundian ditutup.

"Kempen pilihan raya dibenarkan tetapi semua mesti mematuhi penjarakan fizikal dengan bulatan putih di tanda bagi memastikan jarak sepatutnya antara individu.

"CEC tidak memandang remeh tanggungjawab ini dan sudah melakukan persediaan terbaik," katanya.

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri India, Narendra Modi, ketika ini didesak untuk membuka semula negara untuk memastikan ekonominya kembali bergerak selepas perintah berkurung sejak awal Mac lalu mengakibatkan jutaan kehilangan pekerjaan.

Kerajaan memberi alasan bahawa meskipun kadar jangkitan meningkat, jumlah kematian di India masih rendah berbanding Amerika Syarikat (AS), Britain dan Brazil.

India juga dijangka akan mengambil alih kedudukan teratas AS bulan depan sebagai negara paling teruk terkesan akibat wabak itu di dunia.

Arora menegaskan, pilihan raya perlu dilakukan dan semua prosedur bagi mencegah penularan wabak akan dilakukan sepanjang tempoh membuang undi di Bihar.

"Ketika ini, 700,000 unit cecair pencuci tangan; 44.6 juta pelitup muka; 600,000 pakaian perlindungan diri (PPE); 760,000 pelindung muka dan 2.3 juta sarung tangan sedang diagihkan kepada kakitangan penyelaras pilihan raya.

"Malah, kita juga akan memberikan sarung tangan kepada pengundi ketika proses membuang undi dilakukan," katanya.

India, dengan 5,908,748 kes jangkitan termasuk 93,440 kematian akibat COVID-19, kini adalah negara kedua paling terkesan di dunia akibat virus itu selepas AS yang mencatatkan 7,244,491 jangkitan termasuk 208,447 kematian.

Data kementerian kesihatan India semalam menunjukkan kes COVID-19 di negara itu meningkat kepada 5.82 juta dalam tempoh 24 jam, dengan 1,141 orang meninggal dunia dalam tempoh sama.

Bihar setakat ini melaporkan 174,000 kes jangkitan termasuk 878 kematian dan pilihan raya dikhuatiri akan memburukkan lagi keadaan di negeri yang kurang kelengkapan lagi lemah dari segi penjagaan kesihatan mahupun rawatan. - AGENSI